mutakhir

Tidak sempat seludup tepung, minyak masak

Oleh Siti Rohana Idris

BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup 550 kilogram (kg) tepung gandum dan 850 paket minyak masak bernilai RM7,125.

Ia hasil penahanan dua kereta Proton Iswara di Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat pada 11.30 malam semalam dan 12.30 tengah malam.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, anggota terserempak kereta pertama ketika melakukan rondaan dan menahannya, namun pemandu sempat melarikan diri.

"Pemeriksaan menemui kotak bertulis 'Tepung Gandum Cap Bunga Cempaka' yang disyaki untuk diseludup ke Thailand bernilai RM6,650.

"Anggota juga mengesan kereta jenis sama di kawasan berkenaan yang juga kenderaan dilapor hilang berkait laporan dibuat di Kuala Jambu.

"Di dalam kereta ditemui kotak bertulis Minyak Masak Kelapa Sawit Cap DW7 yang dipercayai mahu diseludup keluar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua barang rampasan itu dihantar ke Balai Polis Kuala Jambu untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 7:37pm
d