mutakhir

Malaysia minta bantuan AS selesai isu pelarian Rohingya

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

MALAYSIA meminta bantuan Amerika Syarikat (AS) berhubung isu pelarian Rohingya di negara ini yang dilihat semakin membimbangkan.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, hal berkenaan sudah diusulkan pihaknya kepada Setiausaha AS, Mike Pompeo dalam satu perbualan telefon bersama pemimpin berkenaan semalam.

"Saya minta negara berkenaan untuk bantu dan duduk bersama Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi melihat pada isu pelarian Rohingya dan kedudukan Rakhine.

"Hubungan kita dengan UNHCR ini penting kerana kita bersetuju untuk terima pelarian Rohingya sebelum ini dengan syarat dan lambakan mereka ini di Malaysia dilihat begitu besar," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Hishammuddin berkata, tidak adil sekiranya ada pihak tertentu yang masih mendesak Malaysia untuk menerima lebih ramai pelarian Rohingya.

"UNHCR perlu bertanggungjawab juga, sekiranya mereka (UNHCR) tidak boleh mendengar dan bekerjasama dengan Malaysia saya harap Amerika Syarikat boleh menyuarakan mengenai hal berkenaan dengan pihak terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas tindakan oleh kementeriannya bagi menangani pengeluaran kad UNHCR yang dilihat tidak terkawal sehingga negara ini berdepan dengan lambakan pelarian Rohingya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata kerajaan akan melihat semula pengeluaran kad UNHCR di negara ini sebelum memutuskan sebarang tindakan susulan.

Hamzah berkata, sepatutnya kedudukan individu yang memiliki kad UNHCR berada pada keadaan statik namun lama-kelamaan bilangan pemegang kad UNCHR berkenaan semakin meningkat yang menimbulkan masalah dalam negara.

Disiarkan pada: August 7, 2020 @ 8:10pm
d