mutakhir

Kluster Sivagangga: Nak marah peniaga nasi kandar pun tak guna

Oleh Zuliaty Zulkiffli

"KEHIDUPAN penduduk berubah sejak kluster Sivagangga menular di Napoh hinggakan pergerakan penduduk di Kampung Natoi, Changlun terbatas selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pentadbiran (Temco), 3 Ogos lalu.

"Kami hanya dibenarkan keluar pada jarak satu kilometer ke Pekan Napoh menyebabkan penduduk sukar membeli barangan," kata Zulkifli Md Isa, 58.

Penduduk Kampung Natoi itu berkata, mereka akur dengan arahan kerajaan melakukan kuarantin wajib 14 hari di rumah selepas melakukan ujian calitan Covid-19.

"Penduduk memakai gelang merah jambu, jadi sudah tentu sukar buat kami berurusan di kawasan lain walaupun hanya untuk keluarkan wang di bank.

"Kasihan pada ibu bapa yang mempunyai anak kecil kerana sukar membeli susu sedangkan Temco tamat pada 30 Ogos ini dan tempohnya masih panjang," katanya ketika ditemui hari ini.

Zulkifli berkata, sebanyak 70 keluarga ada di Kampung Natoi dengan keseluruhan penduduk seramai 350 orang dan kebanyakannya sudah melakukan persediaan awal membeli barangan. Katanya, penduduk hanya mengharap bantuan dihantar pihak luar kepada mereka untuk meneruskan kehidupan harian kerana mereka tidak dapat keluar seperti biasa.

"Penduduk di sini kebanyakannya penoreh getah dan pesawah menyebabkan mereka tidak dapat keluar bekerja dan mengharap sumbangan harian terutama yang mempunyai keluarga ramai," katanya.

Sementara itu, Muna Ishak, 43, berkata, sebelum ini dia hanya menonton televisyen berkaitan penduduk di negeri lain menjalani ujian saringan akibat Covid-19.

Namun katanya, apabila ia berlaku di kampung sendiri, dia sedih dan kecewa kerana disebabkan hanya seorang individu ingkar kuarantin di rumah, orang lain pula terkena kesannya.

"Saya dan suami serta lima anak sudah melakukan ujian calitan dan memakai gelang merah jambu untuk kami kuarantin wajib di rumah 14 hari.

"Nak marah kat peniaga nasi kandar tu pun tak guna sebab benda nak jadi. Tak boleh buat apa, cuma berharap semua penduduk perlu buat saringan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 8, 2020 @ 12:16pm
    d