mutakhir

Kluster Sivagangga: Dua sekolah di Sanglang diberi cuti khas seminggu

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

DUA sekolah di Sanglang diberikan cuti khas seminggu hingga Jumaat depan berikutan penularan Covid-19 di dua kawasan di mukim berkenaan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Naharudeen Othman berkata, pemberian cuti itu diberikan selepas mendapat arahan daripada Pusat Kesihatan Daerah (PKD).

Katanya, dua sekolah yang terbabit dengan arahan berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang berikutan mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19.

"Saya difahamkan cuti atau arahan Perintah Pengasingan (HIO) sudah dikeluarkan kepada guru-guru di dua sekolah berkenaan sehingga Jumaat depan.

"Jadi bila tiada guru, bermakna pelajar juga tidak perlu hadir ke sekolah selama perintah ini dikuatkuasakan. Namun sekolah selain daripada yang dikenakan arahan terbabit di Sanglang masih boleh meneruskan aktiviti seperti biasa dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Bagaimanapun jika ada ibu bapa yang masih tidak yakin dengan situasi semasa, mereka boleh memilih untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah namun mestilah dengan mengemukakan surat kepada pihak JPN," katanya.

Semalam, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mempertimbangkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di kawasan tertentu di Sanglang berikutan penambahan kes Covid-19 secara mendadak di negeri itu.

Azlan dilaporkan berkata, pertambahan sebanyak 10 kes Covid-19 dikesan semalam membabitkan sebuah keluarga di Kuala Sanglang yang mempunyai kaitan dengan kluster Sivagangga di Napoh, Kubang Pasu.

Sehingga semalam, 12 kes positif Covid-19 sudah dilaporkan di Perlis membabitkan kawasan di Sanglang dan Padang Siding dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 20 kes sejak Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 8, 2020 @ 2:35pm
    d