mutakhir

Tujuh kontena bawa kayu pine haram

Oleh Nur Izzati Mohamad

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk tujuh kontena kayu pine bernilai RM338,503.82.

Kontena itu dihalang masuk selepas pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), kelmarin.

Pengarah Maqis Pulau Pinang Zarina Ramli berkata, pihaknya membuat pemeriksaan rutin pada 4.30 petang sebelum mengesan kayu berkenaan yang diimport tanpa permit sah.

"Oleh itu kesemua kayu sebanyak 353.732 meter kubik (MTQ) dari Lithuania dirampas untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengimportan kayu tanpa permit import yang sah adalah adalah salah mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama iaitu denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2020 @ 3:16pm
d