mutakhir

Takiyuddin tegur Guan Eng

Oleh Siti Rohana Idris

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan menegur Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang boleh menghina mahkamah.

Katanya, bekas Menteri Kewangan itu perlu berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan subjudis terhadap kesnya yang dalam proses perbicaraan di mahkamah.

"Ia tidak boleh disebut (memberi kenyataan) dan ia dipanggil subjudis walaupun mengenai apa-apa (yang berkaitan kes di mahkamah).

"Kalau dalam Parlimen, cakap apa pun boleh tapi kalau dalam mahkamah, ia tidak boleh disebut. Boleh terjerumus kepada penghinaan mahkamah," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Guan Eng sebelum ini didakwa mengeluarkan kenyataan yang menganggap tuduhan rasuah yang sedang dihadapinya membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion bermotifkan politik.

Setiausaha Agung DAP itu juga dilapor menyifatkan tuduhan itu tidak berasas dan mencemarkan nama baiknya sebagai Ahli Parlimen, selain menegaskan tidak pernah menerima suapan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, beliau percaya penguat kuasa undang-undang mengambil tindakan berdasarkan peruntukan yang membolehkan berbuat demikian.

"Di bawah Akta SPRM 2009, ada banyak kesalahan (antaranya) menerima serta meminta suapan dan kesalahan itu boleh berlaku di pelbagai tempat," katanya.

Semalam, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan bagi Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Disiarkan pada: August 8, 2020 @ 4:33pm
d