mutakhir

Kluster Sivagangga: Hanya tiga negeri terbabit [METROTV]

Oleh Amir Mamat

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan hanya tiga negeri setakat ini yang dikaitkan dengan penularan Covid-19 dari Kluster Sivagangga.

Selain Kedah yang membabitkan Kubang Pasu, Padang Terap dan Kulim, penularan dikesan di Sanglang, Perlis serta terbaru, Sungai Bakap di Pulau Pinang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dua kes positif Covid-19 yang dikesan di Perak, kelmarin bukan daripada kluster Sivagangga sebaliknya kluster Penyakit Seperti Influenza (ILI).

"Bagi kes di Perak, pesakit datang bagi pemeriksaan ILI kerana selsema sebelum disahkan positif Covid-19, manakala di Selangor pula kita masih lagi meneruskan usaha mengesan sama ada ia berpunca daripada kluster Sivagangga atau bukan," katanya selepas menghadiri majlis penyerahan Klinik Kesihatan Jenis Dua (Delima) Batu Berendam di Melaka, hari ini.

Turut hadir, Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad; Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Razdwan Kasim.

Sehingga tengah hari tadi, jumlah kes positif dikesan dalam kluster Sivagangga kekal 43 orang.

Seramai 4,198 orang sudah disaring membabitkan kluster itu di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai kontak rapat dengan kluster Sivagangga bermula 13 Julai lalu perlu tampil membuat saringan kesihatan.

Dr Adham berkata, selain itu, pengunjung serta individu yang berurusan di restoran nasi kandar di Napoh, Kubang Pasu perlu segera melakukan saringan bagi mengelakkan wabak itu semakin menular.

"Orang ramai yang singgah membeli makanan bungkus di kedai itu pun kena lakukan saringan. Kita berusaha mengatasi dan mengawal sepenuhnya wabak di kawasan yang disahkan mempunyai kluster berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 8, 2020 @ 7:10pm
    d