mutakhir

2 maut, motosikal terperosok bawah kereta

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

DUA maut apabila motosikal yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dan terperosok di bawah kereta di Jalan Puchong selepas Kinrara, Bukit Kuchai, di Kuala Lumpur, pagi ini.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan 1.58 pagi dan tiba di tempat kejadian sembilan minit kemudian.

Menurutnya, seorang pegawai dan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Puchong ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan dua lelaki di bawah kereta.

"Kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat.

"Mangsa yang terperosok di bawah kereta kemudian berjaya dibawa keluar sebelum disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Disiarkan pada: August 9, 2020 @ 10:47am
d