mutakhir

Gerai burger disita selepas nasihat tak diendah: MBSA

Oleh Norzamira Che Noh

MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjelaskan tindakan menyita barangan perniagaan peniaga burger di Sungai Buloh dilakukan selepas teguran dan nasihat tidak diendahkan.

Timbalan Datuk Bandar, Mohd Rashidi Ruslan berkata, dalam tempoh dua bulan, MBSA sudah dua kali melakukan tindakan sitaan terhadap peniaga yang sama selepas teguran dan nasihat tidak di ambil peduli.

"Untuk makluman tindakan penyitaan itu diambil berikutan peniaga berkenaan meninggalkan peralatan perniagaan selepas selesai melakukan aktiviti perniagaan sehingga menyebabkan masalah lalu lintas dan juga keselamatan pengguna jalan raya.

"Sebelum ini, pihak MBSA sudah memberikan teguran dan nasihat kepada peniaga agar tidak meninggalkan peralatan selepas selesai melakukan perniagaan namun teguran itu tidak diendahkan," katanya.

Beliau berkata, sedemikian ketika mengulas video yang ditularkan berkaitan tindakan penyitaan terhadap barangan perniagaan yang dilakukan oleh anggota penguatkuasa dari Pejabat Cawangan MBSA Sungai Buloh.

Beliau berkata, peniaga itu juga didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu berniaga di luar waktu operasi perniagaan yang ditetapkan (melebihi 12 tengah malam).

Katanya, dalam operasi yang sama, pihak MBSA juga turut melakukan tindakan penyitaan ke atas satu lagi premis yang meninggalkan barangan perniagaan serta sebuah premis yang menjual barangan minuman dan rokok.

"Tindakan sitaan ini diambil mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja MBSA 2007 Peruntukan 19 (Meninggalkan Barang Perniagaan Ditempat Awam) & Peruntukkan 3 (Menjaja Tanpa Lesen) serta Peruntukkan 42 (Kuasa Sitaan)," katanya.

Mohd Rashidi berkata, berkaitan dengan dakwaan kewujudan premis perjudian, pihak MBSA akan bekerjasama dan membantu pihak polis dalam menjalankan siasatan.

Katanya, tindakan selanjutnya akan diambil sekiranya siasatan mendapati dakwaan itu benar.

Dalam dua versi video berdurasi 13 minit 28 saat dan lapan minit 29 saat yang dibuat secara langsung oleh pentadbir akaun Facebook Hot Burger Malaysia itu turut mendakwa premis perniagaan diusahakan warga Aceh 'kebal' kerana tidak dikenakan tindakan atas kesalahan menjual rokok seludup.

Selain itu, video yang dirakam menerusi tinjauan semasa menaiki kereta itu juga mendakwa pihak berkuasa menutup mata kerana ada yang menerima habuan daripada 'tauke' kedai mesin judi.

Kedua-kedua video berkenaan kini mendapat lebih sejuta tontonan dan 22,000 perkongsian itu mendapat perhatian netizen yang rata- rata mengakui kawasan Sungai Buloh menjadi lubuk kepada aktiviti haram berkenaan.

Disiarkan pada: August 9, 2020 @ 1:02pm
d