mutakhir

8,011 pulang dari luar negara dikuarantin wajib

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SERAMAI 8,011 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai hingga semalam dan dikuarantin wajib.

Mereka ditempatkan di 31 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di KL, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka pulang dari 30 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Mynamar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis dan Australia.

"Daripada jumlah itu, seramai 20 individu dibawa ke hospital untuk rawatan kerana positif Covid-19," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu katanya, semalam, Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 543 premis perniagaan termasuk peruncit (390), pemborong (130) dan pengilang (23).

Katanya, secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

"Pegawai penguat kuasa KPDNEHP juga melakukan 1,733 pemeriksaan khas Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mendapati 1,697 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 35 premis diberi nasihat dan satu premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP," katanya.

#kw kuarantin, pulang, luar negara, bekalan, makanan, Kuala Lumpur

Disiarkan pada: August 9, 2020 @ 3:11pm
d