mutakhir

Isu lesen Finas: Saifuddin mohon maaf [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah membuat permohonan maaf dan mengakui kesilapannya berhubung isu lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan penggiat media baharu, hujung bulan lalu.

Namun Saifuddin berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan isu berkenaan dalam tempoh 20 jam.

"Sebagai menteri, saya kena minta maaf kerana ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada 23 Julai lalu, saya jawab lurus sangat.

"Rupanya orang politik tidak boleh lurus (ketika jawab soalan), bila lurus kena pelangkung (hentam)," katanya.

Permohonan maaf secara terbuka itu dibuat ketika beliau berucap merasmikan Bengkel Kemahiran Youtube dan Komuniti Sinema 2020 Zon Selatan di Iskandar Malaysia Studios, di Iskandar Puteri, semalam.

Menggulas lanjut, Saifuddin berkata, perkara itu dibincangkan kabinet sebelum keputusan muktamad dibuat.

"Selepas saya jawab isu itu di Dewan Rakyat, saya berbincang di kabinet sebelum jemaah menteri membuat keputusan masyarakat boleh terus menggunakan Youtube, Tik Tok tanpa perlu memohon lesen.

"Jangan risau, tidak akan kena apa-apa tindakan. Kebebasan itu dijamin sepenuhnya," katanya.

Pada 23 Julai lalu, Saifuddin ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) sama ada mereka adalah agensi media arus perdana atau media individu yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.

Namun, keesokannya, beliau dilaporkan berkata, pengamal media sosial bebas menggunakan platform sedia ada seperti TikTok dan YouTube termasuk menghasilkan dan memuat naik video seperti biasa tanpa perlu memohon lesen atau bimbang didakwa oleh (Finas).

Menurutnya, kerajaan bertegas dengan pendirian untuk mendokong prinsip kebebasan media dan hak kebebasan individu di laman media sosial.

Disiarkan pada: August 9, 2020 @ 5:24pm
d