mutakhir

Pakej umrah dijangka naik hingga 25 peratus

Oleh Mohd Amin Jalil

PAKEJ umrah dijangka bertambah antara 20 hingga 25 peratus mengambil kira pendekatan normal baharu dan terkini yang mungkin diambil kerajaan Arab Saudi berikutan Covid-19.

Naib Presiden Unit Umrah dan Haji Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Mohd Azri Abd Razak berkata, untuk itu jemaah umrah yang gagal berlepas ke Tanah Suci disebabkan wabak berkenaan tidak boleh mengelak caj tambahan.

Menurutnya, faktor kos itu bertambah termasuklah ujian saringan Covid-19 dan kuarantin selepas selesai ibadat berkenaan.

"Pihak berkuasa Arab Saudi juga kemungkinan akan mengenakan Cukai Nilai Tambah (VAT) lebih tinggi berbanding sebelum ini iaitu sekitar 15 peratus.

"Kos lain termasuk penginapan di hotel yang akan mengalami pengurangan jumlah individu bagi setiap bilik yang boleh menyebabkan kadarnya lebih tinggi.

"Selain itu, tiket penerbangan juga dijangka meningkat kerana bilangan penumpang dalam pesawat terhad kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal," katanya di Seremban hari ini.

Mohd Azri berkata, dianggarkan 40,000 jemaah umrah bermula Februari lalu tidak dapat menunaikan ibadat berkenaan kerana larangan perjalanan di Malaysia dan Arab Saudi menggantung kebenaran umrah dan haji.

Menurutnya, pihaknya masih menunggu perkembangan lanjut daripada kerajaan kedua-dua negara.

"Setakat ini, belum menerima apa-apa maklumat berhubung tarikh boleh menunaikan umrah tahun ini dan Arab Saudi dijangka memberi kebenaran itu bermula September atau Oktober.

"Jika kebenaran diperoleh kelak, agensi akan berhubung dengan peserta yang sudah berdaftar untuk mengadakan perbincangan semula berhubung caj tambahan," katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2020 @ 5:49pm
d