mutakhir

Tingkat kawalan, pemantauan di 12 pasar awam

Oleh BERNAMA

MAJLIS Bandaraya Seberang Perai (MBSP) giat meningkatkan operasi kawalan dan penguatkuasaan di 12 pasar awam yang dikenal pasti sibuk dan perlu diberi tumpuan berikutan berulangnya penularan pandemik Covid-19 di daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, apabila terdapat satu kes positif Covid-19 di SPS, MBSP mengambil langkah pencegahan dengan memperketatkan kawalan bagi tiga pasar awam di daerah itu iaitu Pasar Awam Sungai Bakap, Pasar Awam Taman Berjaya dan Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara.

"MBSP turut meningkatkan kekerapan sanitasi di tiga pasar awam di SPS daripada dua hari sekali kepada setiap hari bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin manakala semua kerja sanitasi di pasar awam lain berjalan mengikut jadual seperti biasa.

"Bermula hari ini, MBSP membahagikan anggota kepada tiga kumpulan bagi setiap daerah di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan di SPS bagi tujuan pemantauan premis perniagaan," katanya pada sidang media menerusi siaran langsung Facebook MBSP di Bukit Mertajam, hari ini.

Dalam pada itu, Rozali berkata, terdapat beberapa pasar malam berada di kawasan zon kuning dan berhampiran SPS menutup operasi kerana penganjur tidak dapat melakukan kawalan prosedur operasi standard (SOP) dengan baik.

Beliau berkata, tiga penganjur pasar malam yang menutup operasi sementara waktu sehingga tarikh diberitahu kelak ialah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Merak (Pasar Malam Taman Merak dan Pasar Malam Simpang Ampat), MPKK Sungai Bakap Selatan (Pasar Malam Seruling Emas dan Pasar Malam Jalan Sentosa) dan MPKK Nibong Tebal (Pasar Malam Nibong Tebal).

"MBSP menambah kekuatan anggota sebanyak 40 peratus bagi operasi kawalan dan penguatkuasaan di sembilan pasar awam lagi dikenal pasti sibuk dan perlu diberikan tumpuan dalam usaha mengekang sebarang penularan jangkitan Covid-19 .

"Sembilan lokasi pasar awam berkenaan ialah Pasar Awam Taman Chai Leng, Pasar Awam Seberang Jaya, Pasar Awam Sri Bandar, Pasar Awam Apollo, Pasar Awam Bagan Ajam, Pasar Awam Sri Rambai, Pasar Awam Bukit Mertajam, Pasar Awam Kampung Baru dan Pasar Awam Tambun Indah," katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2020 @ 6:11pm
d