mutakhir

LZNK sedia tambah bantuan makanan

Oleh Noorazura Abdul Rahman

LEMBAGA Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyelaraskan bantuan makanan kepada penduduk terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO).

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakarian Othman berkata, setakat ini pihaknya belum memutuskan jumlah tambahan bantuan makanan food bank berikutan terdapat bantuan sedia ada diagihkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu.

"Sekarang kerajaan negeri sudah membuat pengagihan makanan di kawasan dilaksanakan TEMCO dan ia termasuk bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Setakat ini kita belum terima aduan ada penduduk tak makan semasa pelaksanaan perintah ini, kerajaan sudah ambil tindakan pantas membantu penduduk, jika sampai ke tahap diperlukan, LZNK bersedia untuk membuat penambahan food bank di setiap masjid kariah kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pelantikan Ejen Kutipan Zakat dan Serahan Zakat Perniagaan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) Serta Anak-Anak Syarikat Kumpulan PKNK di Alor Setar, hari ini.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan TEMCO di empat mukim, iaitu Mukim Hosba, Mukim Ah, Mukim Binjal (Padang Terap) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap) susulan penularan wabak Covid-19.

Sebelum ini, LZNK sudah memperuntukkan hampir RM17 juta kepada penduduk terjejas akibat PKP.

Disiarkan pada: August 9, 2020 @ 8:09pm
d