mutakhir

LKIM jaga nasib nelayan [METROTV]

Oleh Suliati Asri dan Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

PROGRAM Mini Karnival Industri Makanan Bukit Gantang yang berlangsung di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering, semalam meriah dengan kehadiran 500 pengunjung terdiri daripada nelayan dan penduduk setempat.

Perasmiannya disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dengan beberapa aktiviti diatur bermula dari jam 8 pagi hingga 4 petang bertujuan memperkenal, mempromosi dan menggalakkan pasaran produk industri makanan keluaran usahawan setempat.

Beberapa aktiviti diatur sempena karnival itu termasuk gerai jualan oleh usahawan industri makanan, demonstrasi dan pertandingan memasak hasil laut, pameran jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Turut berlangsung pelancaran caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi nelayan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang disempurnakan Ronald.

Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, sebagai permulaan 3,879 daripada 42,000 nelayan yang layak iaitu pemilik bot zon A dan awak-awak zon A,B,C dan C2 di seluruh negara mencarum skim berkenaan dengan nilai caruman dicadangkan RM157.20 setahun.

Katanya, pelaksanaan SKSPS itu menggantikan caruman Insurans Nelayan Berkelompok LKIM, khusus bagi semua nelayan yang layak iaitu mereka yang menerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) melalui potongan secara terus melalui Sistem Program Insentif Nelayan (FIP).

Beliau berkata, ia pendekatan baharu LKIM menjaga kebajikan dan kesejahteraan nelayan, selain menyeru pemilik bot kategori zon tangkapan B, C, dan C2 turut membuat caruman sendiri dengan SKSPS yang bakal memberi manfaat jangka panjang.

"Dari segi manfaat sudah tentu SKSPS menyediakan perlindungan lebih komprehensif berbanding syarikat insuran swasta yang lebih berpaksikan keuntungan. Jadi kita mahu galakkan semua nelayan bukan dari kategori seperti di atas membuat caruman sendiri dengan skim itu. Tiada had umur pencarum skim ini.

"Pelancaran skim SKSPS nelayan sempena karnival ini bertujuan memberi pendedahan kepada agensi lain khususnya di bawah MAFI mengenai manfaat skim ini supaya ia dapat diperluas kepada golongan selain dari nelayan termasuk petani, peladang, penternak, dan sebagainya," katanya.

SKSPS menyediakan faedah tunai kepada pencarum selain rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan vokasional yang meliputi lapan faedah iaitu Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa dan Faedah Orang Tanggungan.

Selain itu, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional dan Faedah Pendidikan.

Syed Abu Hussin berkata, kehadiran pengunjung ke karnival itu disifatkan amat memberangsangkan walaupun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan mengambil kira pematuhan operasi prosedur standard (SOP) Am Perlaksanaan Majlis Kerajaan dan Swasta.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, LKIM buat julung kalinya ditampilkan ke tengah masyarakat melalui karnival itu dengan hasrat mendekatkan agensi itu dengan penduduk setempat supaya lebih dapat memahami antara satu sama lain dalam bantu meningkatkan taraf hidup masing-masing.

"Seramai 70 peratus daripada penduduk Parlimen Bukit Gantang terdiri daripada nelayan, petani dan peladang dengan 30 peratus daripadanya nelayan. Jadi, matlamat kita adakan karnival ini untuk memperlihatkan peluang disediakan kerajaan yang turut meliputi pengusaha pertanian," katanya.

Selain gerai pameran dan jualan, antara aktiviti menarik dijalankan dalam karnival itu lelongan ikan termenung yang dijual RM10 bagi lima kilogram (kg), lelongan ikan sardin RM14 untuk dua kilogram dan bantuan makanan berupa potongan harga 20 peratus melalui kedai bergerak khusus bagi yang layak.

Selain itu, cabutan bertuah dengan hadiah perdana motosikal Modenas 110cc, selain kempen mengibarkan Jalur Gemilang bersempena bulan kemerdekaan.

Program turut disempurnakan dengan penyerahan replika cek bernilai RM12.4 juta daripada MAFI kepada Persatuan Nelayan Negeri Perak (Penggerak) yang juga pembayaran ESHN untuk Perak bagi tahun ini.

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 8:30am
d