mutakhir

Kluster Sivagangga: Ahli Parlimen dari kawasan berisiko perlu buat ujian Covid-19 [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

AHLI Parlimen yang didapati hadir atau pulang kawasan berkaitan kluster 'super spreader' atau perebak utama di utara semenanjung Malaysia perlu membuat ujian Covid-19 sebelum hadir di dewan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, arahan itu dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah mencegah penularan pandemik itu.

"Ini penting kerana saya tahu Ahli-Ahli Yang Berhormat (YB) pulang ke kawasan masing-masing.

"Sesiapa yang didapati pergi ke dalam kawasan yang diumumkan sebagai Emco (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) atau Temco (PKPD Secara Pentadbiran) atau semi Emco dan lokal Emco.

"Mana-mana YB yang pulang ke kawasan berkenaan maka mengikut arahan KKM, perlu dibuat ujian Covid-19 sebelum datang semula ke dewan. Saya minta parti Whip memberi penekanan terhadap semua ahli YB yang berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan sebelum memulakan sidang Dewan Rakyat, sesi pagi hari ini.

Selain itu, katanya, Ahli Parlimen bergejala juga disarankan menjalani saringan Covid-19.

"Seperti mana sedia maklum pada minggu lalu, satu kluster baharu yang berkemungkinan berpunca 'super spreader' dengan izin, sudah melanda di kawasan utara semenanjung Malaysia.

"Sehubungan itu sebagai langkah berjaga-jaga dalam mengekang penularan Covid-19 dan memastikan persidangan Dewan Rakyat terus berjalan lancar maka kumpulan berikut membuat ujian Covid-19," katanya.

Beberapa kawasan di utara Semenanjung Malaysia mencatatkan peningkatan kes baharu Covid-19 selepas kewujudan Kluster Sivagangga yang berpunca daripada kegagalan pengusaha kedai nasi kandar di Napoh, Kedah mematuhi perintah kuarantin di rumah selepas pulang dari India.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 11:02am
    d