mutakhir

Bukan kerani yang pasang Jalur Gemilang terbalik

Oleh Mohamed Farid Noh

KESATUAN Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (KEPTAN) menafikan pembabitan ahli mereka dalam insiden pemasangan Jalur Gemilang terbalik di sebuah sekolah jenis kebangsaan di Kluang, 3 Ogos lalu.

Presidennya, Jameelah Hussein berkata, siasatan dilakukan kesatuan mendapati ahlinya yang juga kerani sekolah berkenaan tidak terbabit dalam pemasangan Jalur Gemilang di sekolah itu.

"Bukan ahli kami yang memasang Jalur Gemilang di sekolah berkenaan sebaliknya difahamkan seorang pekerja swasta sekolah itu.

"Berikutan itu, emosi dan mutu kerja ahli kami yang juga kerani di sekolah berkenaan terjejas berikutan menerima pelbagai kecaman dan cemuhan netizen.

"Ahli kami hanya bertanggungjawab terhadap tugasan di pejabat terutama tugas pentadbiran dan kewangan sekolah dan tidak pernah memasang Jalur Gemilang di situ atau di mana-mana.

"Bagaimanapun, KEPTAN berpendapat pentadbir sekolah perlulah memantau pemasangan Jalur Gemilang walaupun dilakukan pekerja swasta bagi memastikan insiden yang menyentuh sensitiviti masyarakat ini tidak berulang lagi, " katanya ketika dihubungi.

Pada 4 Ogos lalu, media melaporkan Jalur Gemilang terbalik di sekolah jenis kebangsaan di Kluang sudah dibetulkan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail dilaporkan berkata, pihaknya membuat siasatan sebaik saja dimaklumkan.

Gambar kejadian itu tular selepas dikesan orang awam yang melalui di hadapan sekolah berkenaan.

Berita berkaitan

Kerani tak sedar bendera terbalik

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 11:14am
d