mutakhir

'Tiada halangan untuk UAI, selagi tiada isu penyelewengan'

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PENDAKWAH terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) tidak pernah memohon pentauliahan mengajar di seluruh Terengganu.

Sebaliknya, permohonan sementara ada diberikan kepada penceramah itu yang dipohon pihak penganjur untuk aktiviti seperti ceramah sama ada di surau, masjid dan sebagainya.

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, setakat ini, pihaknya dimaklumkan tiada permohonan secara rasmi dibuat pendakwah berkenaan.

"Maksudnya di sini adalah permohonan untuk mengajar secara berterusan yang mana ia perlu dibuat terus kepada pihak yang menguruskan seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) atau mufti Terengganu yang jadi penemu duga.

"Secara umum, kita tak pernah keluarkan kebenaran kepada UAI tetapi sesiapa sahaja termasuk UAI boleh mohon dan kelulusan diberikan dengan mengikut enakmen sedia ada," katanya ketika mengulas isu UAI yang dikatakan tidak mempunyai tauliah untuk mengajar.

Mohd Nor berkata, walaupun pentauliahan tidak diberikan, mana-mana individu termasuk UAI boleh membuat permohonan untuk memberi ceramah sama ada di masjid, surau atau program tertentu.

"Kerajaan negeri tiada halangan untuk beliau (UAI) nak beri ceramah sebab ia berasaskan permohonan dari masa ke masa bergantung pada pihak yang uruskan masjid, yang anjurkan program.

"Kita tiada kaitan dalam isu pentauliahan sebaliknya hanya boleh menyarankan perbincangan, cadangan pada pihak yang berautoriti untuk tindakan sewajarnya.

"Selagi tiada isu penyelewengan atau yang mencetuskan perpecahan dalam masyarakat atau bertentangan dengan sedia ada, sesiapa sahaja boleh buat permohonan termasuk UAI," katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 3:02pm
d