mutakhir

Bersatu nafi lapan cawangan Hulu Langat dibubar

Oleh Sophia Ahmad

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat menafikan lapan cawangan mereka dibubarkan hari ini.

Setiausaha Bersatu Hulu Langat, Hassan Yusof Khan berkata, pembubaran yang didakwa berlaku itu sebenarnya didalangi segelintir individu daripada kumpulan dikenali sebagai 'Bersatu Blackout'.

Katanya, kumpulan terbabit tidak memahami perlembagaan parti, yang sedari awal menetapkan prosedur dan mekanisme khusus jika sebarang pembubaran mahu dilakukan.

"Dalam erti kata lain mereka yang meninggalkan parti Bersatu tidak faham dan keliru. Hakikatnya mereka tiada hak dan tiada kuasa untuk membubarkan mana-mana bahagian parti atau cawangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hassan berkata, kumpulan itu juga hanya mewakili sejumlah kecil ahli dan pengunduran mereka sama sekali tidak memberi kesan atau menjejaskan parti.

"Setakat ini bilangan individu yang keluar parti di Hulu Langat ini adalah amat kecil dan ia tidak memberi impak serius terhadap kewujudan dan keberkesanan gerakan Bersatu Hulu Langat," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Hassan berkata, jawatankuasa bahagian setuju untuk melancarkan program Keahlian 1:10 bagi menangani kemelut ditimbulkan kumpulan 'Bersatu Blackout'.

"Program ini ialah gerakan untuk mendaftarkan 10 ahli baharu bagi menggantikan setiap seorang ahli 'Bersatu Blackout' yang meninggalkan parti," katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 3:07pm
d