mutakhir

Nafi subahat minta suapan RM1 juta dengan suami

Oleh Noorazura Abdul Rahman

SURI rumah didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini, atas 40 pertuduhan bersubahat bersama suaminya meminta suapan berjumlah RM1 juta sejak 2013 lalu.

Tertuduh, Nurlaila Puteh, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersubahat bersama suaminya, Mohd Azurine Che Bahadom, 39, yang pernah bertugas sebagai ketua jualan di Niroti (Malaysia) Sdn Bhd, meminta rasuah berjumlah RM25,000 daripada Syarikat Ga Yee Furniture Sdn Bhd.

Wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank tertuduh adalah bagi memastikan dan mengekalkan syarikat berkenaan sebagai pembekal perabot utama kepada Niroti Malaysia.

Kesalahan itu dilakukan sebanyak 40 kali di cawangan AmBank Alor Setar antara 9 Oktober 2013 hingga 13 Februari 2017.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 28(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tan Sew Ping, manakala tertuduh diwakili peguam, K Paramanathan.

Sew Ping meminta jaminan ke atas tertuduh ditetapkan sebanyak RM200,000, namun Paramanathan merayu ia dikurangkan kerana anak guamnya tidak bekerja dan mempunyai anak perempuan berusia dua tahun yang masih menyusu badan sepenuhnya.

Murtazadi kemudian mengarahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dan menetapkan 13 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Bagaimanapun, Nurlaila gagal membayar wang jaminan menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Penjara Alor Setar.

Akhbar pada 17 Mac lalu melaporkan Mohd Azurine didakwa Mahkamah Sesyen Alor Setar atas 40 pertuduhan meminta suapan berjumlah RM1 juta bagi memastikan sebuah syarikat perabot kekal sebagai pembekal perabot utama kepada Niroti Malaysia.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi perkarangan mahkamah apabila Mohd Azurine yang turut hadir di mahkamah dibenarkan mencium dahi anaknya yang tidur di kerusi menyebabkan kanak-kanak itu menangis.

Bagaimanapun, keadaan kembali tenang apabila pegawai SPRM terpaksa membawa dia masuk ke mahkamah bagi menyaksikan proses pertuduhan ke atas isterinya.

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 4:10pm
d