mutakhir

Dadah, peralatan RM15 juta dilupuskan

Oleh Nur Izzati Mohamad

POLIS melupuskan sebanyak 472.75 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah termasuk bahan serta peralatan memproses barang larangan yang dirampas bernilai RM15 juta, hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, ia membabitkan barang kes dari 2008 hingga 2018 di mana seramai 23 individu ditahan dan 11 kertas siasatan dibuka.

"Daripada 23 individu yang ditahan, tiga dijatuhi hukuman mandatori gantung sampai mati, satu dipenjara 10 tahun dan 10 sebatan manakala selebihnya dibebas serta dilepaskan selepas perbicaraan penuh.

"Proses pelupusan dadah dilaksanakan oleh Pusat Kualiti Alam mengikut garis panduan ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang di Stor Berpusat Kontinjen (SBK), Seberang Perai Utara di Kepala Batas.

Katanya, sebanyak 263.93 kg kafein, 101,819 mililiter (ml) bahan kimia, 13,000 kg bentonite dan 153 peralatan yang digunakan untuk membuat serta memproses dadah turut dilupuskan.

Sementara itu, Sahabudin berkata, JSJN Pulau Pinang berjaya menumpaskan empat sindiket dan makmal dadah haram bagi tempoh Januari sehingga Julai lalu.

"Dalam tempoh sama, polis turut merampas 460.31 kg pelbagai jenis dadah tradisional dan sintetik, 67,190 pil ekstasi, 5,895.6 liter ketum dan kodien, empat batang pokok ganja dan 530.65 kg daun ketum.

"Nilai rampasan keseluruhan barangan kes ini hampir RM7.7 juta," katanya.

Katanya, polis akan mempergiatkan usaha dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah yang menjadi musuh nombor satu negara hingga ke akar umbi.

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 5:02pm
d