mutakhir

Nasi Kandar Salleh tidak dibenarkan beroperasi semula

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

KERAJAAN negeri Kedah akan mengambil tindakan tegas ke atas pemilik Nasi Kandar Salleh, Napoh, Jitra, termasuk tidak akan membenarkan premis itu beroperasi semula.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, premis itu diarah tutup dan disita sebelum tindakan lanjut akan ditentukan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) tamat pada 30 Ogos ini.

Menurutnya, beliau faham ramai pihak tidak berpuas hati dengan pemilik premis terbabit, bagaimanapun kerajaan negeri bertanggungjawab memastikan pelaksanaan TEMCO berjalan lancar terlebih dahulu.

"Kita akan bincang bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bagi menentukan tindakan termasuk membatalkan lesen perniagaan kedai.

"Perasaan marah itu tunggu dahulu, kita fokus dalam merawat pesakit dan memastikan semua penduduk selamat," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Operasi Bantuan (PKOB) TEMCO Kubang Pasu, Jitra, hari ini.

Sebelum ini, TEMCO terpaksa dilaksanakan di empat mukim di Kedah berikutan seorang individu yang juga pengusaha kedai nasi kandar di Napoh didapati positif Covid-19 selepas pulang dari India dikenali sebagai Kluster Sivagangga.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi turut mengumumkan tiada lagi pergerakan keluar masuk dibenarkan kepada penduduk di kawasan TEMCO termasuk untuk bekerja, berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, sebelum ini ada penduduk yang bekerja di luar kawasan TEMCO dibenarkan keluar, namun ia didapati dapat mendedahkan orang ramai kepada penularan wabak Covid-19.

"Kita sudah berbincang bersama Kerajaan Pusat bagi melaksanakan TEMCO sepenuhnya dan pekerja boleh mendapatkan surat daripada Kementerian Sumber Manusia bagi diserahkan kepada majikan masing-masing.

"Majikan diharap tidak bertindak memotong atau memberhentikan kakitangan terbabit kerana tindakan ini perlu diambil bagi menyelamatkan negara dan mengawal penyakit," katanya.

Sementara itu, seramai 3,400 ketua rumah sudah mendapat bantuan yang disalurkan kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada penduduk yang terjejas akibat TEMCO di Mukim Napoh, Ah dan Binjai.

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 5:05pm
d