mutakhir

Juruteknik didenda RM1,000 tunjuk isyarat lucah kepada polis

Oleh BERNAMA

AKIBAT menunjukkan isyarat lucah menggunakan jari tengah kepada pegawai polis, seorang juruteknik lelaki didenda RM1,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Vinotheran, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah menunjukkan isyarat lucah yang mengaibkan kehormatan Sub Inspektor Sukdev Singh Karnail Singh di Jalan Tunku Abdul Halim berhadapan dengan Istana Negara pada 5 petang, 3 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya orang awam tidak menunjukkan isyarat lucah terhadap sesiapa sahaja, apatah lagi kepada pegawai penguat kuasa.

Vinotheran yang diwakili peguam P. Suthes merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya menyara ibu bapanya dan seorang kakak yang juga orang kurang upaya (OKU).

Di mahkamah sama, seorang tukang masak Kevin Chin Ming Wei, 47, dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah mencuri daging lembu wagyu bernilai RM10,700 dari sebuah restoran hotel di Kuala Lumpur pada 8 pagi, 16 Julai lalu.

Aina Azahra turut memerintahkan Chin menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 5:05pm
d