mutakhir

Che Mariam sudah tiada...

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

WARGA emas, pesakit kanser mata, Che Mariam Idris, 66, meninggal dunia di sisi anak-anak di rumahnya di Kampung Baru Pantai Mek Mas, Kota Bharu, 12.45 tengah malam tadi.

Mohamad Saupi Yusof, 36, berkata, pada 20 Julai lalu, arwah ibunya dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) kerana perlu menjalani rawatan kimoterapi untuk mematikan sel kanser, namun disebabkan mengalami demam selain kekurangan darah menyebabkan rawatan itu terpaksa ditangguhkan.

"Selepas seminggu berada di hospital, arwah memberitahu mahu pulang ke rumah dan saya bersama adik beradik yang lain berbincang dan bersetuju membawa ibu pulang ke rumah pada 28 Julai lalu.

"Sejak pulang dari hospital, arwah ibu hanya terlantar di tilam sepanjang masa selain perlu memakai lampin pakai buang, namun dua hari lalu keadaannya semakin tenat apabila tidak dapat menelan makanan yang dimakan serta tubuh badannya juga semakin lemah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anak keempat daripada lima beradik ini berkata, sebelum ini, arwah ibu pernah mendapatkan rawatan di HRPZII, namun disebabkan takut, ibunya enggan meneruskan rawatan meskipun sudah dipujuk.

Katanya, selepas kunjungan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang datang ke rumah pada Jun lalu, arwah ibu akhirnya bersetuju untuk mendapatkan rawatan di hospital.

"Walaupun arwah tidak sempat menjalani rawatan kimoterapi seperti yang dijadualkan oleh doktor, namun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya dan Allah SWT lebih menyayanginya.

"Arwah ibu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Che Latif pada 11 pagi tadi," katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan, Che Mariam Idris yang juga ibu tunggal terpaksa menanggung derita akibat ketumbuhan pada mata kanannya yang

membesar sehingga menutupi bola matanya.

Pada awal tahun lalu, ketumbuhan itu hanya sebesar saiz biji kacang, namun saiznya semakin membesar seperti bola tenis dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

Berita berkaitan

Derita Che Mariam...[METROTV]

Semoga ada sinar buat Che Mariam

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 5:24pm
d