mutakhir

MBSP wujud pelan khas tangani Covid-19

Oleh Nur Izzati Mohamad

MAJLIS Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mewujudkan Pelan Tindakan Melawan Covid-19 susulan pertambahan kes positif baharu yang dilaporkan, semalam.

Datuk Bandarnya Datuk Rozali Mohamud berkata, perbincangan dibuat bagi mewujudkan pelan berkenaan sebelum akan dibawa ke Mesyuarat Taskforce Pengurusan Krisis Covid-19.

Katanya, melalui pelan itu, tenaga kerja MBSP akan digembleng dari kesemua 15 jabatan membabitkan 3,091 kakitangan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

"Kita sudah ambil maklum mengenai peningkatan kes baharu yang berlaku di Seberang Perai lalu mengambil inisiatif menghasilkan pelan tindakan ini.

"Dalam pelan ini, kita akan menfokuskan pasar awam, pasar malam, pasar pagi, uptown, rumah urut, kedai gunting rambut dan premis makanan di kawasan diisytiharkan zon kuning bagi mengekang penularan wabak Covid-19," katanya dalam sidang media di laman rasmi Facebook MBSP, hari ini.

Katanya, MBSP juga akan melakukan proses nyah cemar di pasar awam serta kaunter berpusat pihak berkuasa tempatan (PBT) setiap hari berbanding dua hari sekali sebelum zon kuning diisytiharkan.

"MSBP turut akan melakukan pembersihan di sekitar kawasan flat terbabit walaupun tanggungjawab pembersihan terletak kepada pihak pengurusan flat bagi memastikan penyakit lain seperti denggi serta chikugunya tidak berlaku.

"Kita juga akan mendapatkan bantuan polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperketatkan tindakan penguat kuasaan di Seberang Perai dan menutup jalan berdekatan pasar awam jika perlu supaya penjarakan fizikal dapat dipatuhi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 7:28pm
    d