mutakhir

Sarawak buka semula penerbangan masuk selepas 14 Ogos

Oleh Melvin Joni

KERAJAAN Sarawak akan membuka semula penerbangan masuk ke negeri ini selepas 14 Ogos, sekiranya kes positif Covid-19 terus menurun.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah itu bagi memulihkan semula sektor pelancongan selepas penerbangan masuk ke Sarawak dikurangkan sejak 1 Ogos lalu ekoran peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

"Kita akan memaklumkan kepada syarikat penerbangan bahawa selepas 14 Ogos kalau kes positif Covid-19 tidak meningkat dan keadaan baik, kita akan buka semula penerbangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media sempena pelancaran Jurnal Pengurusan Pelancongan Bertanggungjawab di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur II di Kuching, hari ini.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Hii Chang Kee.

Karim menambah selepas penerbangan dibuka semula, ia juga akan memulihkan industri perhotelan termasuk perkhidmatan pelancongan yang lain di negeri ini.

"Kita tahu dalam masa dua minggu ini (1 hingga 14 Ogos) memang ada penurunan sedikit, kalau penerbangan tidak masuk memang hotel akan menghadapi masalah termasuk industri pengangkutan seperti hotel dan sebagainya.

"14 Ogos cuma tinggal beberapa hari lagi, diharap tidak ada peningkatan mendadak kes positif Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, Karim berkata kementeriannya bersedia membangunkan tempat menarik di sekitar kawasan Empangan Bengoh, Padawan dan Bau sebagai produk pelancongan baharu.

Justeru, beliau berkata akan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Daerah Bau (MDB) termasuk wakil rakyat di kawasan berkenaan untuk mengenal pasti tempat yang menarik seperti air terjun dan gua.

"Kita tahu memang kawasan Padawan, Empangan Bengoh dan Bau banyak tempat menarik seperti air terjun, gua serta flora dan fauna yang mana boleh kita bangunkan.

"Ini juga perlu kerana kawasan ini dekat dengan bandar raya Kuching kerana kadang-kadang pelancong tempatan atau luar negara tidak mahu jarak terlalu jauh," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 7:34pm
    d