mutakhir

Pindaan laporan audit tidak pernah berlaku - Ambrin

Oleh BERNAMA

TINDAKAN Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan pindaan terhadap laporan akhir audit yang disediakan jabatan itu adalah sesuatu luar biasa dan tidak pernah berlaku, kata bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Saksi keenam pendakwaan itu, yang merujuk kepada laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata, beliau tidak berpuas hati apabila bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa memberi kuasa kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy untuk menyemak semula laporan itu dan meminta agar pindaan dilakukan berhubung isu tertentu.

"Kami terpaksa meneliti satu persatu isu (yang dibangkitkan) tersebut. Kami telah diberikan tekanan untuk melakukan sesuatu yang bukan dalam amalan kami kerana dalam mesyuarat 24 Februari 2016, kami telah memuktamadkan laporan itu dan kemudian anda datang dan beritahu bahawa kami perlu melakukan pindaan untuk mengelak ia daripada diputar belit oleh pembangkang.

"Dan saya rasa amat terhina bagi pihak auditor yang diberikan penghormatan untuk membaca laporan (JAN) saya halaman demi halaman, perenggan demi perenggan.

"Saya telah diminta agar tidak meluahkan pendapat saya, atau menulis buku mengenainya, jadi bagaimana saya boleh rasa gembira," katanya pada perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Arul Kanda yang didakwa meminda laporan akhir 1MDB.

Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan itu untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mesyuarat pada 24 Februari 2016 itu adalah mesyuarat penyelarasan Laporan Audit 1MDB, yang dipengerusikan Ali, diadakan atas arahan Najib.

Sebelum ini, Ali memberi keterangan bahawa terdapat empat isu yang dipersetujui untuk dibuang daripada laporan audit 1MDB termasuk dua versi berbeza laporan kewangan 2014 syarikat itu.

Ditanya peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, sama ada beliau membangkitkan perkara itu kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menyiasat isu berlaku pindaan terhadap laporan audit tersebut pada Disember 2018, Ambrin, 70, yang sudah bersara berkata, prosiding di hadapan PAC belum selesai kerana kes tersebut dibawa ke mahkamah.

Saksi itu turut disoal mengenai kenyataannya sebelum ini pada 2018, yang menyaksikan beliau mempertahankan bahawa laporan audit 1MDB tidak dipinda kerana perkara itu telah diulanginya semasa prosiding di hadapan PAC.

"Dalam hal ini, terdapat pindaan terhadap laporan audit itu dan disahkan sesuai dengan kapasiti saya sebagai Ketua Audit Negara ketika itu. Saya hadir di hadapan PAC untuk menyatakan bahawa tidak ada pindaan dilakukan oleh sesiapa di luar kawalan saya. Saya tidak bersetuju dengan perkataan pindaan yang digunakan," katanya.

Ambrin berkata, meskipun tidak berpuas hati, beliau telah membenarkan pindaan dibuat terhadap laporan audit itu.

Muhammad Shafee: Anda mungkin mengomel mengenai kerja tambahan yang perlu dilakukan, tetapi tiada siapa yang memaksa anda untuk melakukan pindaan itu.

Ambrin: Tiada siapa.

Muhammad Shafee: And juga agak tidak berpuas hati apabila pengganti anda Tan Sri Madinah Mohamad mengeluarkan satu kenyataan akhbar pada 2018 yang menyatakan bahawa laporan audit itu telah dipinda kerana ia telah menjejaskan integriti anda dan JAN.

Ambrin: Ya, saya terkejut beliau mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan terdapat pindaan dilakukan terhadap laporan audit itu. Jika beliau menghubungi saya, saya boleh jelaskan perkara itu kepada beliau.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung pada Rabu.

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 8:34pm
d