mutakhir

Guan Eng, isteri dijangka berdepan pertuduhan baharu [METROTV]

Oleh Audrey Dermawan dan Mohamed Basyir

BEKAS Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew Gek Cheng tiba di mahkamah di Butterworth, pagi ini.

Mereka dijangka didakwa atas pertuduhan baharu, hari ini.

Pasangan berkenaan tiba dengan Proton X70 pada 8.50 pagi.

Terdahulu, seorang ahli perniagaan, Phang Lee Koon, tiba di mahkamah pada 8.37 pagi.

Guan Eng, 60, dan Phang, 48, dijangka didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Chew, 56, pula dijangka didakwa atas tiga tuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

Semalam, Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3,300,000 sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6,341,383,702.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown, antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 7 Ogos lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Mengikut pertuduhan, beliau semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu, balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur, pada Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan terdahulu, Guang Eng dibenarkan diikat jamin RM1 juta.

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 9:31am
d