mutakhir

Saya sayang abang, tapi berundurlah dari politik - Anifah Aman

Oleh Rafiqah Dahali

BEKAS Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman meminta bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang juga abangnya berundur dari arena politik bagi memberi laluan generasi baru mengambil alih pemerintahan Sabah.

Beliau memberi komen terbabit mengenai tindakan Musa yang baru-baru ini mendakwa memperolehi majoriti mudah membentuk kerajaan negeri tetapi gagal pada 30 Julai lalu.

Ini berikutan selepas pengumuman terbabit, Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) atas nasihat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan perkara terbabit dibawa sehingga ke mahkamah.

"Musa adalah abang saya dan saya sayangkan dia. Namun dalam politik ia berbeza. Sebagai rakyat Sabah, saya menghargai apa yang dia sudah buat untuk Sabah.

"Tapi saya fikir masanya sudah berlalu dan dia seharusnya memberi orang muda untuk mengambil alih. Mungkin apa yang dia buat adalah betul untuk sesuatu masa, tetapi cita rasa berubah.

"Tiada keperluan untuk melihat saya sebagai adik Musa Aman. Dia harus melihat saya sebagai pemimpin sesebuah parti sama ada saya mampu memimpin atau sebaliknya," katanya.

Dalam pada itu, Anifah dalam satu sidang media khas yang diadakan semalam turut menjelaskan kepada pemberita tujuannya menerajui sebuah parti tempatan di Sabah, Parti Cinta Sabah (PCS) sebagai presiden, baru-baru ini.

Katanya, demi mengangkat martabat dan memperjuangkan hak rakyat Sabah, Anifah menjelaskan beliau memilih menjadi Presiden PCS kerana kesuntukan masa untuk membina parti baharu dan memilih menjenamakan semula parti terbabit.

"Salah satu sebab kenapa kita bersetuju untuk mengambil alih PCS kerana kita kesuntukan masa untuk membentuk parti baharu.

"Kita sudah menghantar permohonan sejak dua tahun lalu tetapi tiada maklum balas. Disebabkan kita sudah menjangkakan ada pilihan raya bakal diadakan, kita mungkin tidak dapat menguruskan pendaftaran pada waktu yang tepat.

"Jadi kita bersetuju menjenamakan semula PCS bagi memperjuangkan Sabah," katanya.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kimanis berkata, pihaknya mahu menumpukan agar tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan sepenuhnya kepada Sabah.

Anifah juga menyatakan tiada keperluan untuk membentuk sebarang jawatankuasa bagi meneliti sebelum melaksanakan semua tuntutan dalam MA63 itu kerana ia sudah termaktub di dalam Perlembagaan.

Beliau berkata, parti tempatan memainkan peranan lebih kuat dalam memperjuangkan hak Sabah terutamanya tuntutan dalam MA63 namun pada masa yang sama harus bekerjasama erat dengan kerajaan persekutuan.

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 1:02pm
d