mutakhir

Jangan sembunyi sejarah perjalanan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

JANGAN sesekali menyembunyi sejarah perjalanan dan bersedia untuk menjalani saringan sekiranya mempunyai kontak rapat atau berada di kawasan yang berlakunya penularan Kluster Sivagangga.

Itu saranan Pakar Epidemiologi Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan supaya kluster berkenaan yang dianggap 'super spreader' dapat dikawal penularannya.

Beliau berkata, sikap tidak jujur dalam kalangan masyarakat menjadi punca penularan wabak itu kini sudah memberi kesan kepada tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

"Saya harap rakyat bersikap telus khususnya mereka yang mempunyai kaitan dengan kluster berkenaan sama ada mempunyai kontak rapat atau berada di kawasan penularan untuk menjalani saringan Covid-19.

"Kegagalan berbuat demikian hanya akan menyebabkan wabak ini menular dengan lebih cepat dan dalam skala yang lebih besar kerana ia dianggap 'super spreader' berbanding kluster lain yang dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dr Mohd Rohaizat berkata, keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Secara Pentadbiran (Temco) di dua kampung di Perlis tepat kerana ia mampu mengekang penularan untuk merebak dengan lebih besar.

Katanya, rakyat perlu sedar 'peperangan' dalam melawan pandemik maut ini masih belum selesai walaupun aktiviti harian dan ekonomi sudah berjalan seperti biasa namun pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu diteruskan.

"Jangan kita terus selesa dengan kelonggaran yang dinikmati kini kerana Covid-19 masih ada dalam komuniti dan kerjasama rakyat perlu untuk pastikan kita bebas sepenuhnya dari cengkaman wabak ini," katanya.

Kluster Sivagangga dianggap 'super spreader' kerana kadar kebolehjangkitan yang tinggi sehingga dikesan menular di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Bagi mengekang penularan itu, kerajaan mengumumkan Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul di Perlis dikenakan PKPD Temco sehingga akhir bulan ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 2:33pm
    d