mutakhir

Lapan dipanggil bantu siasatan pencemaran Sungai Batang Nilai

Oleh BERNAMA

LAPAN individu termasuk seorang pemilik syarikat penyelenggaraan dipanggil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan untuk memberi keterangan, bagi membantu siasatan berhubung kes pencemaran Sungai Batang Nilai di Nilai, Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, kesemua mereka iaitu tujuh lelaki dan seorang wanita, dipanggil antara 5 hingga 10 Ogos lalu.

"Keterangan sudah diambil dan kita masih dalam proses melengkapkan kertas siasatan, selepas itu kita akan menghantar permohonan kepada pejabat Peguam Negara, untuk arahan seterusnya," katanya pada sidang media di Seremban, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JAS negeri Azuri Azizah Saedon.

Veerapan berkata demikian mengulas mengenai aduan seorang orang awam berhubung kejadian beberapa individu yang dilihat membuang sisa minyak dipercayai minyak enjin terpakai, dari sebuah lori pada 10 malam, di Taman Ros Merah di Nilai, Selasa lalu.

Susulan aduan berkenaan, beliau berkata, satu serbuan dilakukan JAS negeri ke atas sebuah bengkel di Taman Semarak, Nilai, sehari kemudian dan menyita sebuah lori jenis Isuzu yang dipercayai digunakan dalam kes berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya kini sedang menunggu keputusan sampel air dan bahan kimia yang diambil di lokasi berkenaan dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk kenal pasti.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 25 dan Seksyen 34 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum sehingga RM500,000, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 2:59pm
d