mutakhir

Sindiket judi tumpas di Pulau Pinang, 16 akaun bank dibekukan

Oleh Nur Izzati Mohamad

SINDIKET judi atas talian yang ditumpaskan Polis Kontinjen Pulau Pinang dari 25 hingga 30 Julai lalu dipercayai meraih keuntungan antara RM900,000 ke RM1 juta sebulan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, polis melakukan serbuan ke atas tiga kondominium mewah dan sebuah rumah kedai dekat Bukit Mertajam sebelum menahan sembilan lelaki yang terbabit dalam kegiatan judi atas talian.

"Dalam serbuan itu pelbagai peralatan elektronik untuk menjalankan kegiatan judi atas talian antaranya komputer, telefon pintar, kad sim dan kamera litar tertutup (CCTV) serta dekoder dirampas untuk siasatan lanjut.

"Operasi selama lima hari itu diadakan selepas polis memperoleh maklumat serta menjalankan risikan hingga tertumpasnya kumpulan sindiket yang didalangi seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Sahabudin berkata, semakan yang dijalankan ke atas sembilan suspek berusia 19 hingga 29 tahun termasuk dalangnya mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Mereka aktif melakukan kegiatan ini sejak setahun yang lalu dengan menjadikan kondominium mewah sebagai markas bagi mengelak perbuatan dihidu pihak berkuasa.

"Selain itu, sindiket ini mensasarkan pelanggan dari negeri-negeri utara terutama Pulau Pinang, Perak dan Kedah dengan meraih untung antara RM 30,000 ke RM50,000 sehari dan dianggarkan untung mencecah RM900,000 ke RM1 juta sebulan," katanya.

Menurutnya, siasatan juga menemui sebanyak 16 akaun pelbagai bank yang digunakan sindiket berkenaan sebagai transaksi aliran wang tunai yang mana ia sudah dibekukan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) oleh Bukit Aman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a); 4(1)(b); 4(1)(c) dan 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Ahli sindiket ini juga diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001," katanya.

Katanya, polis juga kini mengesan tiga lagi individu yang dipercayai turut terbabit dalam kegiatan judi atas talian bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 3:02pm
d