mutakhir

Majlis Perbandaran Kuantan laksana bil digital 2021

Oleh Asrol Awang

BERMULA tahun depan, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) tidak lagi menghantar cetakan bil cukai taksiran kepada pemilik premis kediaman dan perniagaan berikutan pelaksanaan bil digital.

Yang Dipertua MPK Datuk Hamdan Hussin berkata, pelaksanaan bil digital itu dalam usaha menambah baik kualiti perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Katanya, ia juga selaras dengan hasrat MPK membawa Kuantan menjadi sebuah bandar raya yang diiktiraf sebagai bandar raya pintar.

"Oleh itu, langkah pertama ke arah itu ialah mengemaskini data penting pemilik akaun cukai taksiran iaitu dengan pendaftaran e-billing.

"Mulai tahun depan, tidak ada lagi cetakan bil cukai taksiran yang dihantar ke premis kediaman dan perniagaan di dalam kawasan MPK kerana semuanya melalui SMS dan emel sahaja.

"Adalah menjadi kemestian untuk MPK membina segera infrastruktur digital yang lengkap dalam menerapkan teknologi baru dalam menambah baik kualiti perkhidmatan seiring dalam era digital," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Kuantan Ke arah Bandaraya Pintar E-Billing di Kompleks Ibu Pejabat MPK di Kuantan, hari ini.

Hadir sama Setiausaha MPK Datuk Hamiza Hamzah.

Hamdan berkata, pelaksanaan bil digital itu juga mengikut trend perkhidmatan digital pada masa kini lebih kepada perkhidmatan dalam talian dan aplikasi mudah alih.

"Oleh itu, kita meminta kerjasama warga Kuantan untuk mengemaskini maklumat bermula hari ini sehingga 31 Disember depan.

"Kita akan menyediakan kod QR di kawasan tumpuan awam seperti pusat beli belah, kawasan pelancongan dan institusi agama bagi memudahkan orang ramai berbuat demikian.

"MPK menjangkakan pelaksanaan bil digital ini akan memudahkan mereka membuat pembayaran melalui atas talian tanpa pergi ke kaunter," katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 4:36pm
d