mutakhir

Tak serik ditangkap polis

Oleh Melvin Joni

DUA penjenayah tegar ditahan selepas gagal melarikan diri daripada polis kerana memiliki pelbagai peralatan pecah rumah dan curi kenderaan, semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 33 dan 41 tahun itu bertindak melarikan diri ketika pasukan peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan cuba melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan yang digunakan mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, dalam jam 6.50 petang, polis terserempak dengan kereta Proton Wira Aeroback dalam keadaan mencurigakan yang diparkir di hadapan sebuah pasar raya.

Bagaimanapun, katanya, apabila menghampiri kereta terbabit untuk membuat pemeriksaan, seorang daripada suspek dilihat berlari masuk ke dalam kereta itu di bahagian penumpang depan dan terus memecut melarikan diri.

"Pasukan polis bertindak mengejar kereta itu dari hadapan pasar raya menuju ke Taman Merdang Gayam dengan dibantu oleh sebuah lagi kenderaan peronda polis.

"Kereta suspek kemudian menuju ke jalan mati dan berpusing balik lalu melanggar bahagian depan kereta peronda polis.

"Pasukan polis terus mengejar sebelum kereta suspek terbabas melanggar simen penghadang tanah di mana selepas itu, kedua-dua suspek cuba melarikan diri ke dalam semak berhampiran tetapi berjaya ditangkap," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sudirman berkata, pemeriksaan dalam kereta berkenaan menjumpai pelbagai peralatan pecah rumah membabitkan pemotong besi, pemutar skru, pengikir besi, rotan, paip getah, sarung tangan dan 32 unit sarung tangan getah termasuk seunit senjata jenis 'double stick'.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas casis kereta berkenaan turut mendapati ia dilaporkan hilang di Bintulu, 4 Ogos lalu.

Katanya, hasil semakan ke atas suspek berusia 41 tahun mendapati dia mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta baharu bebas daripada pengawasan di bawah Akta Pencegahan Jenayah pada Februari lalu manakala suspek berusia 33 tahun mempunyai 10 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dan barang kes dibawa ke IPD Kota Samarahan untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 5:13pm
d