mutakhir

Berang disamun, wanita himpit motosikal peragut

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

TINDAKAN berani seorang wanita menghimpit motosikal dua lelaki yang menyamun beg tangannya berhasil apabila suspek berjaya diberkas polis, pada 6 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian jam 9.30 pagi daripada mangsa berusia 37 tahun.

"Cermin kereta mangsa dipecah dan beg tangannya disamun ketika berhenti di lampu isyarat selepas Tol Sungai Buloh menghala Kepong.

"Dalam kejadian itu, mangsa menghimpit motosikal dinaiki dua suspek menyebabkan mereka terjatuh dan tersepit.

"Suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas orang awam sebelum diserahkan kepada anggota polis yang tiba di lokasi kejadian," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di Petaling Jaya, hari ini.

Nik Ezanee berkata, polis juga merampas beg tangan milik mangsa, palam pencucuh yang diubahsuai dipercayai untuk pecah cermin kereta, pelbagai barangan hasil samun serta motosikal digunakan suspek.

"Kedua-dua suspek berusia 27 dan 29 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau termasuk Akta Pencegahan Jenayah (POCA) serta dikehendaki polis Ampang Jaya," katanya.

Katanya, penahanan suspek dapat menyelesaikan lapan kes pecah cermin kereta dan mereka kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang disyaki terbabit kes ragut telefon bimbit seorang lelaki di Damansara Perdana, jam 9 pagi, 5 Ogos lalu.

Tambah beliau, tangkapan suspek itu membawa kepada penahanan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 42 hingga 48 tahun yang disyaki terbabit jenayah sama di sebuah premis menjual telefon bimbit di Taman Medan serta merampas pelbagai telefon bimbit disyaki curi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 5:42pm
d