mutakhir

Sarawak dijangka dilanda jerebu

Oleh Mohd Roji Kawi

KUALITI udara di Sarawak khususnya di bahagian barat negeri ini yang meliputi Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong dijangka terjejas berikutan tiupan angin monsun barat daya ketika ini diramal berlanjutan sehingga September atau awal Oktober depan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, arah angin yang dijangka dominan dari barat daya itu berisiko mencetuskan cuaca berjerebu sama ada akibat jerebu setempat atau rentas sempadan dari Kalimantan.

Beliau berkata, keadaan dijangka bertambah buruk akibat cuaca kering untuk beberapa hari akan datang dan jika tiada tindakan diambil bagi mengawal kebakaran terbuka.

"Ketika ini negara sedang berada dalam fasa monsun barat daya dengan cuaca semasa lazimnya akan lebih kering dengan jumlah hujan sedikit berbanding dengan bulan lain.

"Keadaan cuaca seperti ini akan meningkatkan bilangan titik panas dan berkemungkinan menyebabkan jerebu," katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri Lama, Petra Jaya, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, berdasarkan maklumat diterima dari Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 8 Ogos lalu, terdapat peningkatan bilangan titik panas yang ketara di selatan dan barat Kalimantan.

"ASMC mengesan sebanyak 37 titik panas di Sarawak pada 8 Ogos bagaimanapun didapati menurun kepada satu titik panas masing-masing pada 9 dan 10 Ogos lalu.

"Keadaan ini menyebabkan peningkatan Indeks Pencemaran Udara di beberapa kawasan di Sarawak berkemungkinan disebabkan jerebu rentas sempadan," katanya.

Menurutnya, keadaan ini dijangka memburukkan lagi keadaan kualiti udara jika pembakaran terbuka tidak dikawal dan jumlah titik panas bertambah.

"Sehubungan itu, saya merayu kepada semua untuk memastikan aktiviti pembakaran terbuka dapat dielakkan dalam tempoh ini," katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 6:18pm
d