mutakhir

Penganggur ugut sebar gambar bogel kekasih ditahan

Oleh Zuhainy Zulkiffli

PENGANGGUR diberkas polis selepas dipercayai terbabit dengan ugutan jenayah dan penyebaran gambar bogel teman wanita yang dikenali di Facebook (FB), 4 Ogos lalu.

Penahanan suspek yang berusia 20 tahun itu dilakukan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di Padang Rengas, Perak, jam 7.50 malam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, suspek ditahan sejurus pihaknya menerima laporan kematian seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dipercayai terjatuh dari aras 22 kondominium di Bayan Lepas, Georgetown pada 3 Ogos lalu.

Katanya, mangsa berbuat demikian selepas suspek memaki hamun dan mengugut akan menyebar gambar bogel menerusi panggilan telefon kepada ibunya jam 6 petang berkenaan.

"Menerusi siasatan yang dijalankan, kita berjaya menahan suspek dan merampas telefon bimbit miliknya yang mengandungi gambar aksi bogel individu lain yang belum dikenal pasti.

"Suspek memaki hamun dengan perkataan kesat dan membuat ugutan jenayah menyebarkan gambar milik mangsa yang sudah disunting sekiranya enggan meneruskan hubungan atau melakukan hubungan seks dengannya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.

Sahabudin berkata, siasatan juga mendapati suspek turut terbabit dengan lima lagi laporan kejadian sama membabitkan kontinjen Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Selangor.

"Suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan ditahan reman selama seminggu mulai 5 Ogos lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan," katanya

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 6:29pm
d