mutakhir

Kerajaan kaji semula diskaun 18 peratus tol PLUS

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

KERAJAAN akan mengkaji semula diskaun 18 peratus bagi tol di bawah Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang dilaksanakan ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) demi menilai kesannya ke atas Dasar Penswastaan Negara.

Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penurunan kadar tol itu perlu dipertimbangkan kerana mempunyai kesan ke atas lebuh raya lain termasuk yang sedang dalam pembinaan serta yang akan dibina.

"Salah satu keputusan kerajaan terdahulu adalah penurunan 18 peratus kadar tol PLUS dan tidak pada lebuh raya lain. Ini sudah pasti akan menukar keseluruhan Dasar Penswastaan Negara yang diperkenalkan dulu.

"Bila PH memutuskan penurunan 18 peratus, kita kena kaji balik setakat mana impaknya terhadap keseluruhan dasar itu berhubung kait dengan tol lebuh raya.

"Ini kerana ia akan memberi impak kepada lebuh raya lain yang akan terus naik sedangkan PLUS kekal pada satu harga," katanya pada sidang media, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, pada Januari 2020, PH di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan menjual Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) Malaysia Berhad dan memutuskan untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus bermula seawal 1 Februari 2021 dengan tiada kenaikan kadar tol sehingga 2058.

Lebuh raya yang terbabit adalah Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).

Dalam pada itu, Fadillah enggan mengulas mengenai kenaikan atau penurunan kadar tol PLUS kerana usul itu belum dibentangkan di kabinet.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ahmad 'Asri Abdul Hamid dan Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

MoU itu ditandatangani bagi memeterai kerjasama dalam pelaksanaan latihan dan penempatan pekerjaan dalam sektor pembinaan.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 7:03pm
d