mutakhir

Beruang matahari bikin bimbang

Oleh Rosli Ilham

KEHADIRAN seekor beruang matahari yang berkeliaran mendatangkan kebimbangan kepada penduduk di Kampung Pinang Merah, Paka, Dungun.

Haiwan liar itu dikatakan datang dari hutan Pancor atau hutan Bukit Bauk dan memasuki kawasan perumahan penduduk sejak tiga minggu lalu.

Pengusaha madu kelulut, Zaleha Abu Bakar, 55, berkata, beruang itu semakin berani berkeliaran di kawasan perumahan sehingga mereka bimbang diserang haiwan itu.

Menurutnya, selain itu, haiwan terbabit turut merosakkan rumah lebah kelulut serta tanaman pokok kelapa penduduk lain membabitkan kerugian hampir RM11,000.

"Beruang itu berkeliaran di kawasan rumah penduduk pada waktu malam untuk memakan madu kelulut serta umbut kelapa yang diusahakan penduduk kerana kedua-duanya adalah makanan kegemaran haiwan itu.

"Saya sebelum ini berasa sangat pelik apabila lima sarang madu kelulut dirosakkan dan tidak menyangka ia sebenarnya dirosakkan beruang itu," katanya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pinang Merah, Che Wan Mustaffa Che Wan Kamal berkata, beliau meminta penduduk supaya berhati-hati dan tidak mengganggu haiwan terbabit.

"Beruang itu boleh mendatangkan bahaya sekiranya diganggu dan penduduk diminta segera membuat laporan sekiranya terserempak dengan haiwan itu.

"Bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku, kami bersama penduduk melakukan rondaan bagi mengesan beruang terbabit.

"Kami sudah melaporkan kejadian itu kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk menangkap beruang itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof ketika dihubungi berkata, beruang itu dipercayai mencari makanan di kawasan penduduk berikutan habitat asalnya diganggu projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Ladang Solar yang terletak berhampiran Kompleks Penapisan Gas di Kampung Santong.

"Haiwan terbabit pada mulanya mengganggu tanaman kelapa diusahakan penduduk sebelum beralih arah mengganggu sarang lebah kelulut yang berada kawasan perumahan.

"Kami sudah memasang perangkap di kawasan kediaman penduduk yang menternak lebah kelulut untuk menangkap haiwan itu," katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 7:10pm
d