mutakhir

Remaja lelaki berperwatakan wanita disamun, dibelasah kenalan MiChat

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SEORANG remaja lelaki berperwatakan wanita cedera disamun dua lelaki warga Bangladesh dalam kejadian di Kampung Gambut, Punggai, Pengerang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 17 tahun dikatakan keluar dengan suspek yang dikenali melalui aplikasi sembang sosial MiChat atas kerelaan sendiri.

Katanya, mangsa dikatakan menemani suspek berusia 30-an itu untuk membeli barang keperluan di sebuah pasar raya di Bandar Penawar.

"Bagaimanapun mangsa disamun di tepi jalan Kampung Gambut menyebabkan kerugian lebih RM200 termasuk wang tunai dan telefon bimbit.

"Mangsa turut mengalami kecederaan di tangan kiri dan kaki kanan akibat dipukul suspek," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, kes itu turut tular di media sosial yang memaparkan gambar mangsa yang dikatakan diculik dan cubaan rogol.

"Polis menafikan kejadian tular itu dan siasatan mendapati mangsa adalah seorang lelaki berperwatakan wanita dan mengenali suspek menerusi aplikasi MiChat.

"Polis sedang mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Shukor Ismail di nombor 011-10823779," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 7:25pm
d