mutakhir

Sewa premis RM1,000 kepada warga asing

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TETAPKAN kadar sewa sebanyak RM1,000 sebulan kepada peniaga warga asing yang mahu menjalankan perniagaan di Wangsa Maju di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar susulan serbuan dilakukan 20 anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di lokasi berkenaan, jam 4 petang semalam.

Jurucakap DBKL berkata, pihaknya mengambil tindakan sita mengikut UUK3(1) - Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja dan Gerai 2016 terhadap warga asing berkenaan yang didapati menjalankan aktiviti perniagaan.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, peniaga warga asing terbabit didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Difahamkan bahawa warga asing itu dikenakan kadar sewa sebanyak RM1,000 sebulan daripada individu tempatan," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu warga asing yang menjalankan perniagaan di sekitar ibu kota diminta menghubungi Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1-800883255 atau terus ke Pejabat Cawangan DBKL berhampiran.

Sementara itu dalam serbuan berasingan, DBKL turut menutup dan menyita dua kedai makan yang diuruskan warga asing di Jalan 8/40, Taman Pusat Kepong, di Kuala Lumpur, hari ini.

"Ketika serbuan dilakukan di lokasi pertama, semua pekerja warga asing melarikan diri dan pemilik juga tiada di dalam premis. Pemeriksaan mendapati kedai makan berkenaan tidak mempunyai lesen daripada DBKL.

"Selain itu, kami juga menyita dan menutup sebuah lagi kedai makan terletak berhampiran di lokasi pertama yang dikendalikan seorang wanita warga Bangladesh yang turut tidak mempunyai lesen," katanya.

Menurutnya, pihak DBKL juga menutup serta menyita sebuah kedai runcit di Vista Mutiara, di Kuala Lumpur yang mengupah pembantu warga asing dari Bangladesh.

"Tindakan tutup dan sita terhadap ketiga-tiga premis berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 7:39pm
d