mutakhir

Strok haba: Pakar saran jangan pakai pakaian fabrik tebal

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

TANGGAPAN pakaian fabrik tebal dan krim pelindung matahari (sunblock) dapat mengurangkan risiko berlakunya strok haba kerana sukar ditembusi cahaya matahari adalah tidak tepat.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun berkata, pemakaian pakaian fabrik tebal hanya akan memerangkap suhu dalam tubuh seterusnya meningkatkan risiko serangan.

Menurutnya, pemakaian krim pelindung matahari pula sekadar untuk melindungi kulit namun tidak membantu menolak haba sekeliling daripada diserap ke dalam tubuh.

"Ketika cuaca panas, orang ramai disarankan memakai pakaian fabrik mudah serap udara kerana ia membantu suhu dibebaskan berbanding ia akan terperangkap dalam tubuh jika fabrik tebal digunakan.

"Malah krim pelindung matahari juga sekadar melindungi kulit saja namun tidak membantu menangkis suhu daripada diserap ke dalam tubuh," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, bagi mengurangkan risiko strok haba, orang ramai dinasihatkan untuk lebih peka terhadap simptom serangan yang paling mudah dikesan antaranya pening kepala, bibir dan kulit menjadi kering.

Katanya, jika keadaan itu berlaku, orang ramai dinasihatkan untuk terus minum air dan berada di tempat yang redup untuk membolehkan suhu tubuh kembali normal.

"Jika mereka yang perlu bekerja di kawasan terbuka seperti tapak pembinaan, minum air sekurang-kurangnya 2.5 liter sehari untuk memastikan tubuh tidak mengalami dehidrasi iaitu kekurangan cecair dalam badan.

"Selain itu, aktiviti luar khususnya kepada kanak-kanak di bawah usia dua tahun perlu dielakkan untuk sementara waktu malah ini adalah masa terbaik untuk meneruskan saranan kerajaan supaya tinggal di rumah," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, cuaca panas di negara ini dijangka sehingga September disebabkan angin Monsun Barat Daya kembali normal dan kurangnya taburan hujan.

Namun, keadaan ini dijangka tidak akan menyebabkan Malaysia mengalami situasi El Nino atau La Nina seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 1:28pm
d