mutakhir

Harap anak kembali pulih [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

HATI bapa mana yang tidak sedih melihat anaknya berusia empat tahun tidak dapat bermain riang bersama rakan-rakan seusia kerana menghidap masalah saluran injap paru-paru sempit sejak lahir.

Bagi Muhammad Fareed Zine, 28, dia mengharapkan sesuatu yang terbaik buat anaknya, Muhammad Firman Ramadhan supaya dapat hidup normal dan bersekolah seperti kanak-kanak lain.

Anak kedua daripada empat beradik itu disahkan menghidap masalah itu sejak lahir menyebabkan dia tidak boleh aktif dan perlu dijaga pada setiap masa.

"Ketika berusia tujuh bulan, Ramadhan disahkan menghidap masalah ini (saluran injap paru-paru sempit). Setiap kali penat, jarinya akan bertukar kebiruan dan itu mengehadkan pergerakannya.

"Paling teruk, dia akan tidak cukup nafas bila terlalu aktif bermain menyebabkan saya perlu mengawal pergerakannya dan meminta dia berhenti bermain bila perlu," katanya.

Muhammad Fareed berkata, doktor mencadangkan untuk menjalani pembedahan injap dengan kos RM80,000.

Dia yang hanya bekerja sebagai kakitangan sebuah hotel di ibu negara berkata, setiap bulan, anaknya itu akan menjalani pemeriksaan susulan dengan kos kira-kira RM700 setiap sesi.

Katanya, anaknya itu juga pernah menjalani pembedahan jantung berlubang di Hospital Gleneagles pada 2017 dan kini saluran injap puloa.

"Sebagai ayah, saya harap dia dapat kembali sihat seperti mereka seusianya yang lain.

"Saya bersyukur kerana keluarga juga memberikan sokongan untuk Ramadhan menjalani pembedahan nanti," katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan melakukan pemindahan ke akaun semasa Maybank bernombor 5141-0532-3170 dan meletakkan nama pesakit di ruangan Rujukan Penerima (Recipients Reference) atau Maklumat Pembayaran Lain (Other Payment Details).

Sumbangan boleh dibuat dalam bentuk cek kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan menulis nama pesakit di belakang cek dan dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat 3, Anjung Liku, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 2:30pm
d