mutakhir

Cuba rasuah polis, pelajar Rohingya dipenjara lima bulan

Oleh Mohd Amin Jalil

BAHANA cuba memberi suapan RM100 kepada anggota Balai Polis Daerah Rembau, pelajar warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini.

Hakim Madihah Harullah turut memerintahkan etnik Rohingya, Tolan Mubaruk Hossain, 23, dipenjara lima bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan, selain diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

Tertuduh dari Ampang, Selangor didakwa memberi suapan itu kepada Lans Koperal Mohd Khairul Mohammed Jabar dari Balai Polis Daerah Rembau sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan mempunyai pas pelajar dan visa yang tamat tempoh iaitu pada 13 Mei 2019.

Tolan Mubaruk didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 27, Jalan Seremban-Tampin pada 3.50 petang, 5 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama iaitu penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Zainab Yahaya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Tolan Mubaruk dalam rayuannya memohon hukuman diringankan kerana dia hanya bekerja sebagai pembantu juru elektrik secara sambilan di Ampang, Selangor.

Dia memasuki Malaysia pada 2018 dan mendakwa belajar di sebuah kolej swasta di Cheras Kuala Lumpur, memberi alasan tidak mampu untuk memperbaharui pas pelajar kerana tiada wang.

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 2:45pm
d