mutakhir

PIBGN sokong guna perisai muka jika diarahkan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PEMAKAIAN perisai muka (face shield) dalam kalangan murid sebagai alternatif mampu mengurangkan beban pembelian harian pelitup muka khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, cadangan itu perlu diperhalusi khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap keberkesanan penggunaan perisai muka untuk mengekang Covid-19.

Menurutnya, masyarakat sudah mengetahui pemakaian pelitup muka tiga lapisan diperakui berkesan menghalang penularan wabak berkenaan, namun perisai muka masih belum terbukti keberkesanannya.

"Secara dasarnya PIBGN menyokong cadangan alternatif berkenaan untuk membantu murid daripada keluarga kurang berkemampuan kerana perlu membeli pelitup muka setiap hari untuk ke sekolah.

"Prosedur penggunaan perisai muka ini perlu dimaklumkan secara meluas kepada murid sekiranya cadangan itu diluluskan kelak agar pemakaiannya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mencadangkan agar murid menggunakan perisai muka kerana ia boleh dicuci dan digunakan berulang kali dengan setiap satu dianggarkan berharga RM3 hingga RM4.

Namun, keberkesanan pemakaiannya masih dalam penelitian KKM kerana belum ada bukti klinikal yang membuktikan perisai muka mampu mengekang penularan wabak Covid-19 seperti pelitup muka tiga lapisan.

Dalam pada itu, Mohamad Ali berkata, keputusan kerajaan untuk menurunkan harga pelitup muka tiga lapisan serendah RM1 seunit tepat bagi mengurangkan beban rakyat Malaysia.

Katanya, ia pasti memberi kelegaan kepada keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai ramai anak bersekolah kerana memerlukan bekalan pelitup muka yang banyak kerana perlu ditukar setiap hari.

"Ini langkah yang tepat dalam menjadikan pemakaian pelitup muka sebagai budaya baharu kerana negara masih lagi dibelenggu penularan pandemik maut itu," katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi di Dewan Rakyat memaklumkan harga siling runcit pelitup muka tiga lapisan akan diturunkan serendah RM1 seunit manakala 95 sen bagi peringkat borong.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 4:42pm
    d