mutakhir

Mohd Zaidi calon BN PRK Dun Slim [METROTV]

Oleh Rosman Shamsudin dan Noor Hidayah Tanzizi

PEMANGKU Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN Perak yang juga Pengarah PRK Dun Slim, Datuk Saarani Mohamad di Dewan Rajawali, Felda Residence, Trolak, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Mohd Zaidi, 43, yang berasal dari Kampung Slim Village, Slim River adalah Timbalan Presiden Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) dan sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) serta Timbalan Presiden MBM.

Mohd Zaidi kini Ketua Umno cawangan Kampung Slim Village dan sebelum itu pernah menjadi Ketua Penerangan Umno Bahagian dan ahli jawatankuasa Pemuda Umno bahagian, Ketua Pemuda Umno cawangan serta ahli jawatankuasa Biro Kebajikan Umno Malaysia.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menubuhkan parti baharu, Jumaat lalu akan mengumumkan calon parti itu, malam ini di Slim River.

PRK Dun Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Ia dijadualkan pada 29 Ogos dengan 15 Ogos sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian awal pada 25 Ogos.

Mohd Khusairi dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004.

Pada PRU-14, beliau mempertahankan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 5:29pm
d