mutakhir

Wanita maut ditikam di perut, leher

Oleh Balqis Jazimah Zahari

WANITA maut ditikam seorang lelaki di perut dan leher dipercayai akibat masalah peribadi di hadapan premis Taman Lang Indah, Ipoh, Ahad lalu.

Mangsa, K Rajama, 39, meninggal dunia 4.18 petang semalam selepas menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kes diklasifikasikan daripada Seksyen 307 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh apabila mangsa yang sedang dirawat meninggal dunia.

Katanya, berdasarkan keterangan suami mangsa, S Sivakumar, 46, pada 3 petang dia bersama isteri dan abangnya tiba di tepi jalan ke Gunung Lang untuk berjumpa dengan rakan kepada isterinya dikenali sebagai Arumugam termasuk tiga lelaki dan empat wanita bagi menyelesaikan masalah mereka.

"Ketika berada di tempat kejadian, Arumugam memberitahu mahu berjumpa dan bercakap dengan mangsa.

"Semasa mereka sedang berbual, suami mangsa melihat Arumugam menikam isterinya di perut beberapa kali menggunakan pisau. Pengadu berlari ke arah isteri dan terus membawanya ke hospital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

A Asmadi berkata, mangsa mengalami kecederaan luka dalam di perut dan leher, dan calar di tangan kiri.

"Suspek menikam mangsa menggunakan sebilah pisau yang disyaki pisau jenis Rambo warna perak sepanjang lebih kurang 15 sentimeter hingga 17 sentimeter. Suspek menikam sekali di perut dan sekali di leher," katanya.

Beliau berkata, susulan itu, polis memburu suspek, K Arumugam berusia 39 tahun untuk siasatan lanjut.

"Menurut pengadu dia mengesyaki punca kejadian disebabkan suspek menuduh mangsa mengada-adakan cerita yang mana tiga lelaki berlaku curang.

"Oleh itu, suspek membawa isteri dan tiga lelaki terbabit untuk berjumpa mangsa bagi menyelesaikan isu ini," katanya.

A Asmadi berkata, berdasarkan pengadu dia baru mengenali suspek dalam dua hari melalui isterinya manakala mangsa mengenali suspek sejak zaman persekolahan serta berhubung melalui Facebook (FB) kira-kira tiga tahun.

"Usaha mengesan suspek sedang dipertingkatkan malah isteri suspek juga memberitahu tiada makluman terbaru. Beberapa lokasi persembunyian sedang dikenal pasti," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan Asisten Superintendan Abdul Razak Sulaiman di talian 05-2542222/05-2451562 atau telefon bimbit 012-6510394.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat juga boleh memaklumkan di mana-mana balai berhampiran, kerjasama orang awam adalah amat dihargai," katanya.

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 7:27pm
d