mutakhir

400 Pati Filipina dihantar pulang

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

SERAMAI 400 pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang ke tanah air mereka, Filipina, melalui Pelabuhan Sandakan, hari ini.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, proses berkenaan adalah siri yang ke-23 bagi tahun ini.

Menurutnya, ia menjadikan jumlah PATI yang diusir seramai 5,645 orang.

"Semua PATI berkenaan dihantar ke Filipina melalui jalan laut terus ke Zamboanga, Filipina.

"Sebelum dihantar, semua pati menjalani ujian saringan Covid-19.

"Pihak kami juga memastikan semua PATI dalam keadaan sihat sebelum dihantar pulang untuk melalui perjalanan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, MKN Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Filipina kerana memberi kerjasama dalam memastikan urusan pengusiran berjalan lancar.

"Pihak kami akan terus komited melaksanakan pengusiran PATI dan semua aktiviti berkaitan penguatkuasaan terhadap PATI walaupun ketika wabak Covid-19 masih belum berakhir.

"Diharapkan agar semua pihak juga memberi kerjasama dan sokongan terhadap usaha ini.

"Agensi penguat kuasa sangat menghargai sebarang maklumat dan bantuan yang diberikan oleh penduduk tempatan dalam menjejaki dan menangkap PATI yang menyusup masuk ke negara kita," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pencerobohan PATI dinasihatkan untuk segera menghubungi National Task Force di talian 011-62511223.

"Namun, masyarakat tempatan juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati jika berhadapan dengan PATI kerana status kesihatan mereka tidak diketahui, lebih-lebih lagi pada ketika ini negara-negara jiran masih lagi mencatatkan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 8:34pm
    d