mutakhir

Guru sekolah Siti Nurhaliza bersara

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

"BIAR pun ketika itu hanya bergelar guru praktikal namun saya berbangga kerana pernah mengajar penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza," ujar guru Orang Asli daripada suku Temuan, Ayof Ekal, 58, yang bersara secara rasmi semalam selepas lebih 35 tahun berkhidmat sebagai guru.

Ayof jelas tidak dapat menahan kesedihan apabila diraikan pada majlis perpisahan bersama isteri, Zaleha Bahpat, 52, yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra, Jelebu, Negeri Sembilan, tadi.

Difahamkan beliau pernah berkhidmat di dua sekolah sepanjang perkhidmatan iaitu di SK Pos Lenjan, Kuala Lipis, Pahang dan SK Putra, Jelebu, Negeri Sembilan.

Ayof berkata, sebelum menjadi guru dia pernah berkhidmat sebagai pembantu pejabat di Jabatan Kemajuan Orang Asli ( JAKOA ) sebelum dilantik menjadi tenaga pengajar dan mula mengajar di Pos Lenjan pada 1985.

"Bukan sahaja menjadi tenaga pengajar malah saya turut menjadi pegawai keselamatan di JAKOA bagi menjaga kepentingan Orang Asli apatah lagi ketika itu negara masih berdepan ancaman komunis.

"Saya perlu memastikan masyarakat Orang Asli di Pos Lenjan tidak terpengaruh dengan ideologi komunis," katanya ditemui pada majlis berkenaan.

Ayof berkata pada tahun 1987, beliau mengikut kursus dalam cuti di Maktab Perguruan Teknik, Cheras, Kuala Lumpur sehingga tahun 1990.

Katanya ketika menjalani latihan praktikal di SK Clifford, Kuala Lipis, Pahang, selama enam bulan, dia mengajar subjek Alam dan Manusia.

"Ketika itu penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berada dalam kelas diajar saya. Dia baru darjah lima ketika itu,

"Sebaik tamat praktikal, saya kembali mengajar di SK Pos Lenjan sebagai guru di bawah Kementerian Pendidikan sehingga saya ditawarkan untuk berpindah dan memohon untuk kembali ke Jelebu dan berkhidmat di SK Putra bermula 1994," katanya.

Menurutnya, dia akan meneruskan sumbangannya kepada masyarakat berikutan dia turut dilantik sebagai Tok Batin Kampung Orang Asli ParitGong, Pertang di sini, sebelum ini.

"Selepas bersara, saya akan memberi tumpuan kepada kampung dan pada masa sama akan memastikan anak - anak kampung akan ke sekolah menimba ilmu,' katanya.

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 8:54pm
d