mutakhir

Amir Khusyairi calon Bebas wakili Pejuang

Oleh Noor Hidayah Tanzizi dan Rosman Shamsudin

PEGUAM syarie dan peguam bela, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi diumumkan sebagai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim, pada 29 Ogos ini.

Amir Khusyairi, 38, akan bertanding atas tiket Bebas mewakili kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang baharu menubuhkan parti dinamakan 'Pejuang.'

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Memperkenalkan Calon PRK N 58 Slim di Bilik Gerakan Utama, Taman Slim Permata dekat Slim River, malam ini.

Penyampaian watikah perlantikan disempurnakan Dr Mahathir. Hadir sama, Ahli Parlimen Jerlun yang juga Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Pengarah PRK Slim, Datuk Marzuki Yahya.

Amir Khusyairi yang berasal dari Teluk Intan memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan mempunyai dua firma guaman di Perak dan Selangor.

PRK Dun Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Pada 7 Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu yang tidak terikat atau menyokong mana-mana gabungan parti sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 9:30pm
d